26 JAN : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan intervensi strategik amat diperlukan bagi membantu golongan Bumiputera meraih peluang ekonomi dalam sektor berdaya maju dan mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Menurut Muhyiddin, ini memandangkan kesan besar pandemik COVID-19 kepada ekonomi negara yang mana perniagaan Bumiputera sudah pasti tidak terkecuali.
“Justeru, saya tegaskan bahawa tindakan intervensi strategik amat diperlukan bagi membantu golongan usahawan Bumiputera yang terjejas akibat pandemik ini.
“Insya-Allah, mereka yang diberikan amanah di dalam MKB, JPMKB dan JKMKB mampu mencetuskan idea bernas untuk membolehkan tindakan intervensi yang strategik dan tepat diambil demi memastikan ekonomi Bumiputera terus berdaya tahan dan berdaya saing,” ujarnya menerusi satu kenyataan melalui Facebook rasminya.
Perkara tersebut dibangkitkan Perdana Menteri hari ini ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) secara persidangan video dari pejabatnya di bangunan Perdana Putra.
Jelas Muhyiddin lagi, MKB merupakan platform untuk kerajaan memperkasakan sosioekonomi Bumiputera dengan sasaran lonjakan pembangunan keusahawanan berganda di pelbagai peringkat.
Katanya lagi, usaha ini akan diterajui oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) selaku agensi penyelaras utamanya. Mesyuarat juga mengesahkan penubuhan MKB dari segi keahlian serta terma rujukan.
“Turut diperakukan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Majlis Kemakmuran Bumiputera (JPMKB) dan Jawatankuasa Kerja Majlis Kemakmuran Bumiputera (JKMKB), yang masing-masing akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Eksekutif TERAJU, Encik Md Silmi Abd Rahman.
“MKB dianggotai oleh 17 menteri Kabinet di samping tokoh Bumiputera dalam pelbagai sektor perniagaan, ekonomi dan pendidikan.
“Antaranya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Tan Sri Azman Mokhtar; Datuk Dr Mohd Karim Abdullah; Tan Sri Dr Rafiah Salim; Datuk Azrin Mohd Noor dan Encik Kamarul Azman Muhamed,” ujarnya.