26 JAN: Penggunaan perkataan nista dan kurang sopan bagi mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan Presiden UMNO bukan budaya dan nilai parti itu.
Malah, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, sikap itu yang ditunjukkan melalui pemasangan kain rentang dan sepanduk bukan adab dan susila orang Islam serta Melayu.
“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.
“Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangan lah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan UMNO,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebook, beliau hari ini.
Beliau turut memetik pepatah Melayu yang berpesan, ‘menurut biar berakal, menentang biar beradab’.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO agar kembali kepada kesatuan dalam parti dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.
“Sedikit bibit perpecahan antara kita, akan memberi peluang kepada lawan kita untuk meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan.
“Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam UMNO di adu domba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain,” jelasnya.
Beliau memberitahu, tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang kerana semuanya akan sama-sama lebur dan binasa.
Mohamad juga bimbang perpecahan dalam UMNO akhirnya akan mengorbankan parti itu sendiri dan orang Melayu.
Beliau turut menyeru agar semua pihak membangunkan era baharu untuk UMNO dengan kesatuan dan muafakat.
“Era di mana perbezaan kita diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati.
“Era di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan Demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama.
“Dan akhirnya, era dimana UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan,” tegasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN