26 JAN : Semua kanak-kanak dan golongan tua di Filipina dikenakan larangan keluar rumah bagi mengawal penularan COVID-19, walaupun selepas sektor ekonomi dibuka semula.
Presidennya Rodrigo Duterte berata, perintah larangan keluar rumah itu dikenakan terhadap kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun dan golongan tua bagi melindungi dua golongan itu daripada dijangkiti virus tersebut.
“Tolong duduk di rumah. Saya tahu, mereka suka menonton televisyen. Mereka sekarang ini boleh menonton televisyen seharian,” tegas Duterte.
Walaupun perintah tersebut dilaksanakan oleh kerajaan, namun ada segelintir ibu bapa enggan mematuhi peraturan itu dengan membenarkan anak mereka bermain di taman di kala sekolah juga masih ditutup sehingga hari ini.
Jawatankuasa coronavirus kerajaan Jumaat lalu mengumumkan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun, dibenarkan keluar rumah bermula Februari ini, namun dibatalkan Duterte dengan alasan tidak mahu golongan muda menanggung risiko dijangkiti varian baharu virus terbabit yang lebih berbahaya.
“Varian baharu virus itu setakat ini sudah menjangkiti 17 individu, termasuk tiga kanak-kanak dan saya amat bimbang kerana varian baharu virus ini boleh menjangkiti kanak-kanak,”ujar Duterte.
Terdahulu, Setiausaha Perdagangan, Ramon Lopez, berkata keputusan membenarkan semula kanak-kanak berada di luar rumah, berupaya memacu permintaan pengguna dan menghidupkan semula perniagaan yang terjejas.