26 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menambah slot program TV Pendidikan menerusi program DidikTV@NTV7 mulai esok khusus untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020.
Menterinya, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pertambahan slot berkenaan memberi fokus kepada kandungan untuk membantu pelajar membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan SPM bermulai 22 Februari depan.
“Slot tambahan selama dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat mulai jam 3 hingga 5 petang menerusi saluran NTV7. Sebagai tambahan, KPM juga akan menambah lima jam lagi siaran TV Pendidikan menerusi saluran sama mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang, pada hari Sabtu dan Ahad.
“Pertambahan slot ini menjadikan jumlah keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam sehari yang disiarkan menerusi saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7,” katanya dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Mereka yang mendapatkan jadual program TV Pendidikan boleh melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau laman Facebook, Istagram dan Twitter @Kempendidikan.
Terdahulu, Mohd Radzi berkata KPM sentiasa menambah baik kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) termasuk menerusi penerbitan rancangan TV Pendidikan.
“KPM yakin Program TV Pendidikan yang disediakan dapat memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa sebagai salah satu kaedah PdPR yang berkesan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan KPM sudah mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April 2020 sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun lalu dalam menghargai pandangan dan saranan pelbagai pihak berkaitan siaran tersebut.
Mohd Radzi dipetik sebagai berkata KPM sentiasa berusaha untuk terus memperkasa TV Pendidikan yang kini bersiaran selama sembilan jam sehari di beberapa stesen televisyen dengan pendekatan bersesuaian.
“Sebagaimana yang kita maklum, TV Pendidikan di televisyen konvensional yang bermula pada 1972 telah dipindahkan ke dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008. Bermula pada 1 Januari 2009, TV Pendidikan tidak lagi disiarkan di saluran TV konvensional.
“KPM telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” ujarnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.