26 JAN: Pengaruh ‘syaitan-syaitan warisan penjajah’ dikatakan menjadi punca ramai orang Melayu yang beragama Islam kurang berminat untuk mendaftar sebagai pengundi.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengaruh bisikan syaitan masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.
Menurut beliau, kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka.
Abdul Hadi menambah, pemikiran Islam dalam diri mereka tidak bermaya, khususnya dalam kalangan bangsa yang beragama Islam.
“Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu.
“Dalam keadaan bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, umat Islam mengalami musibah dengan kehilangan kuasa politik sepenuhnya pada awal abad yang lalu, setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyah kerana kelemahan dalaman umat Islam sendiri di mana satu demi satu wilayah Islam dijajah dan merebaknya kejahilan agama.
Namun, Abdul Hadi berkata, umat Islam tidak pernah menyerah kalah sehingga keseluruhannya mencapai kemerdekaan walaupun hanya pada namanya sahaja.
“Walau bagaimanapun, kesan serangan pemikiran masih bertapak dalam diri mereka, apabila wujud pemikiran paling beracun yang berusaha untuk menghapuskan kefahaman politik yang wajib ditegakkan,” jelasnya.
Menurut beliau, Snouck Hurgronje, seorang tokoh orientalis yang berasal dari Belanda menegaskan bahawa tugas paling penting bagi menghadapi kebangkitan semula Islam ialah menghalang para ulama yang terus membawa ajaran menegakkan kembali khilafah (politik).
“Langkah ini ternyata apabila para ulama yang paling awal menentang campur tangan penjajah dan mengajar ajaran politik Islam, disingkirkan secara keras dan halus.
“Malahan ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, dipenjara dan dibuang keluar dari tanah airnya. Bahkan ada yang dihapuskan daripada catatan sejarah,” ujarnya.
Seterusnya, kata Abdul Hadi, mereka menyebarkan langkah ‘tasykik’ (meragukan dan menyebarkan rasa waswas) terhadap ajaran Islam, khususnya kefahaman politik dengan menyamakan politik Islam dengan yang lain.
“Mereka meletakkan Islam dalam satu bakul bersama jenama lain dan beranggapan bahawa politik itu semuanya kotor, menipu dan berpolitikus (seperti tikus) yang merosakkan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi menyenangkan mereka untuk berpolitik tanpa tentangan daripada umat Islam. – Oleh HUSSAINI AMRAN