27 JAN: Seramai 473 individu dikompaun manakala 33 lagi direman selepas ditahan polis kerana melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan dilakukan mereka ialah tidak memakai pelitup muka (112) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (84).
Manakala, 77 individu lain ditahan kerana cuba merentas daerah/negeri tanpa kebenaran, tiada penjarakan fizikal (76), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (66) dan lain-lain (91).
Beliau menambah, pihak berkuasa juga menangkap 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lapan kenderaan darat dalam Op Benteng semalam, selain mengesan 82 bot/kapal berada di perairan negara.
Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan seramai 4,386 pekerja warga asing disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan, sejak 1 Disember 2020.
Beliau berkata, mereka adalah sebahagian seramai 225,950 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 9,132 majikan, sejak 1 Disember 2020.
“Daripada jumlah ini sebanyak 4,386 telah disahkan positif COVID-19 manakala 221,564 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 876 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI