27 JAN: Sistem pemeriksaan kehadiran penjawat awam di pejabat kerajaan akan diperkemaskan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan berterusan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata tindakan berkenaan perlu keraana masih terdapat lompang yang perlu diperbaiki dalam sistem penyampaian perkhidmatan yang perlu di atasi secepat mungkin.
Mohd Khairul Adib berkata, semasa PKP fasa pertama pada Mac 2020 yang berlaku pada musim cuti sekolah, kebanyakan ibu bapa berada di kampung dan pihaknya perlu menguruskan kakitangan untuk dapat pulang ke stesen kerja masing-masing.
“Tetapi berbeza PKP kali ini yang bukan pada musim cuti sekolah, namun ada yang mengambil kesempatan pulang ke kampung, jadi kita minta semua ketua jabatan membuat pemeriksaan rambang.
“Justeru bagi memastikan penjawat awam berada di kediaman masing-masing dan boleh segera hadir bertugas apabila diminta ketua jabatan, beberapa kaedah seperti menunjukkan lokasi keberadaan dan membuat panggilan video turut digunakan,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebook Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.
Beliau berkata, walaupun penjawat awam dibenarkan bekerja dari rumah (BDR), ketua jabatan pada bila-bila masa boleh mengarahkan mereka hadir bertugas di pejabat.
“BDR ini perubahan baharu dalam persekitaran cara bekerja sektor awam yang mana petugas boleh BDR apabila mendapat arahan daripada kerajaan atau mendapat arahan serta kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing,” katanya.