28 JAN: Keputusan mengehadkan bilangan jemaah di masjid di Selangor dibuat demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam di negeri itu.
Setiausaha Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian kerana statistik terbaharu di Selangor, membabitkan kes jangkitan wabak COVID-19 masih meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.
Beliau berkata, baginda juga mengambil kira jumlah kes positif di Selangor mencecah lima digit, manakala tiga digit bagi angka kematian.
“Sultan Sharafuddin memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di Selangor yang belum boleh berjemaah solat fardu dan menunaikan solat Jumaat di masjid kerana mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Baginda turut membaca sendiri rayuan disalurkan menerusi Mufti Selangor dan juga permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan perkara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Munir berkata, baginda juga kesal kerana ada segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya mementingkan diri dengan sanggup memudaratkan jemaah lain, sekiranya masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.
“Baginda tidak mahu lebih ramai lagi rakyat di negeri ini mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian.
“Selepas ini, baginda berharap tidak ada lagi pihak yang bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan yang diambil sebulat suara pihak berwajib ini, demi keselamatan umat Islam di Selangor.
“Tegas baginda lagi, tidak bererti jika masjid dan surau ditutup, maka amal ibadah juga akan terhenti,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI