28 JAN: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang dirawat akibat COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sejak lebih seminggu lalu masih mempunyai gejala.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu masih mengalami hilang deria rasa dan bau serta batuk.
“Walaupun sudah sembilan hari di sini saya masih mengalami batuk serta masih hilang deria rasa dan bau.
“Nak makan pun lidah tidak dapat rasa makanan, namun saya paksa juga telan supaya tahap kesihatan bertambah baik,” katanya, hari ini.
Beliau dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud serta seorang lagi anak mereka yang turut disahkan positif COVID-19 kini berada dalam keadaan stabil dan masih lagi menerima rawatan.
“Saya dan keluarga kini hanya menunggu arahan pihak hospital berhubung tahap perkembangan kesihatan sepanjang tempoh rawatan,” katanya.
Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu dan isterinya disahkan positif COVID-19 pada 19 Januari lalu.
Difahamkan beliau dan isteri menjalani ujian saringan Sabtu lalu, selepas sehari pulang dari Kuantan dan hasilnya ujian itu didapati positif jangkitan COVID-19.