28 JAN : Sebuah kontena mengandungi ayam sejuk beku bernilai RM187,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana didapati tidak mematuhi syarat import di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa lepas.
Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai MAQIS telah menemukan sebanyak 2,600 kotak keratan ayam sejuk beku dengan berat keseluruhan 31,200 kilogram yang disusun di dalam kontena tersebut
“Barangan tersebut ditemukan di dalam sebuah lori kontena dari negara jiran yang melalui pintu masuk negara itu pada pukul 2.20 petang.
“Semua ayam sejuk beku itu tidak mematuhi syarat import kerana dipercayai datang daripada pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf dan meragukan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kegagalan mematuhi syarat import adalah kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, MAQIS akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap barangan yang dibawa masuk ke negara ini bagi mengelakkan isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak.