28 JAN: Terasa kematian begitu hampir. Itulah pergolakan emosi yang dilalui oleh mentor keusahawanan, Datuk Dr Azizan Osman apabila disahkan positif COVID-19 baru-baru ini.
Lebih memilukan, bukan Azizan sahaja yang disahkan positif COVID-19 malah 31 ahli keluarganya turut dijangkiti virus tersebut sehingga menyebabkan ibu mentuanya meninggal dunia.
Meskipun kini telah bebas sepenuhnya daripada virus berbahaya itu, beliau tidak dapat melupakan pengalaman sebagai salah seorang pesakit COVID-19.
Menceritakan pengalaman berdepan dengan virus itu, doktor pernah memaklumkan kepadanya pada 15 Januari lalu bahawa peluang untuk dia selamat daripada virus itu amat tipis.
“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu tapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang MenThor, saya nak anda tahu proses ini dan mengapa saya dan RichWorks terus buat apa yang kami buat hingga hari ini.
“Ia adalah perjuangan sebenar kalau awak ada simptom atau berada di tahap yang teruk. Saya cuba untuk menangis ketika menulis ni tapi pada waktu itu, Alhamdulillah saya ada keluarga saya, mak saya, isteri saya, dan Datuk Jerry, seorang sahabat yang mengagumkan,” katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Azizan dan keluarganya disahkam positif COVID-19 pada 7 Januari lalu selepas terdedah kepada mereka yang dijangkiti virus tersebut.
Dalam pada itu, Azizan memberitahu menjadi pesakit COVID-19 menjadi satu pengalaman yang menginsafkan dirinya di samping sentiasa memikirkan nasib anak didiknya yang kini perlu berusaha lebih baik untuk berjaya ketika negara sedang menghadapi pandemik COVID-19.
Menurut beliau, ini merupakan masa yang tepat selain Allah memberikannya peluang yang kedua untuk terus membantu mereka yang memerlukan sokongan khususnya mereka yang amat terjejas.
“Melihat bagaimana pandemik ini begitu kritikal, kerajaan yang sedang berkira-kira untuk penutupan sepenuhnya yang akan memberi impak pada pekerjaan ramai orang dan bisnes, tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa.
“Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya. Saya sedar misi saya belum selesai seperti kata Mak, ramai lagi anak bangsa yang ketinggalan, perlukan bimbingan terutama dalam dunia bisnes ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH