28 JAN: Slip keputusan COVID-19 yang mengaitkan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) dan Lablink (M) Sdn Bhd yang menguruskan makmal patologi KPJ yang digunakan untuk melakukan perjalanan merentas sempadan adalah dokumen palsu.
Kedua-dua pihak tersebut memandang serius berkenaan laporan slip keputusan COVID-19 palsu tersebut yang mengaitkan pihaknya untuk melakukan perjalanan merentasi sempadan.
Penyalahgunaan kepala surat itu dikesan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.
KPJ dan Lablink dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hasil siasatan dalaman pihaknya mengesahkan semua dokumen ini tidak dikeluarkan oleh Lablink.
“KPJ dan Lablink amat memandang serius terhadap perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memudahkan siasatan mereka.
“Semua ujian Lablink COVID-19 dilakukan secara sistematik, teratur, beretika dan hasilnya dihantar dengan selamat dan rahsia kepada pesakit dan pelanggan berdasarkan protokol yang telah ditetapkan dan jelas,” kata KPJ dan Lablink.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, pengesahan terhadap sebarang keputusan ujian COVID-19 yang dikeluarkan oleh Lablink boleh dilakukan dengan menghubungi Lablink (M) Sdn Bhd di talian +603 40234588. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH