Sektor peruncitan, kedai dobi dibenar operasi hingga 10 malam
28 JAN: Kerajaan membenarkan waktu operasi semua sektor peruncitan dan aktiviti perniagaan yang diluluskan dilanjutkan sehingga pukul 10 malam, mulai esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi menyeragamkan semula waktu operasi perniagaan membabitkan semua sektor yang dibenarkan sebelum ini.
Menurut beliau, ia juga secara tidak langsung memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan Task Force Operasi yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setelah dibuat penilaian risiko, kita bersetuju untuk melanjutkan waktu perniagaan bagi sektor-sektor yang dibenarkan sehingga pukul 10 malam. Antaranya kedai runcit, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makan, kedai dobi dan kedai cermin mata yang diumumkan sebelum ini.
“Kita seragamkan semua waktu perniagaan bagi setiap sektor yang kita benarkan. Kali ini kita percaya ia akan memudahkan penguatkuasaan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan task force operasi pematuhan dari segi pelaksanaan dan akan bermula esok,” katanya dalam sidang mediadi Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Ismail pada 22 Januari lalu memaklumkan operasi semua jenis premis menjual makanan dan perkhidmatan penghantaran makanan di negeri-negeri yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan hingga pukul 10 malam.
Namun, beliau memberitahu pihaknya masih kekal dengan keputusan pelanggan tidak dibenarkan makan dalam premis, sebaliknya hanya boleh membungkus makanan.
Tambah beliau, perkhidmatan penghantar makanan juga boleh terus beroperasi hingga 10 malam.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju untuk membenarkan sektor perhutanan, perkayuan dan rantaiannya yang melibatkan aktiviti pembalakan beroperasi mulai esok.
“Sidang khas juga bersetuju untuk membenarkan sektor itu beroperasi seperti biasa bermula esok,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH