28 JAN: Dakwaan pihak tertentu kononnya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) berunding dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah fitnah semata-mata.
Setiausaha Agung KIMMA, Hussein Jamal Mahamad menegaskan, tindakan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemar nama baik KIMMA dan para pemimpinnya.
Malah, beliau menyatakan bahawa KIMMA tetap bersama Barisan Nasional (BN) serta menyokong kerajaan sedia ada.
“Saya dengan ini menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kononnya kepimpinan tertinggi parti itu ada membuat rundingan dan tawaran dengan parti Pejuang.
“Saya ingin menegaskan bahawa Datuk Seri Presiden KIMMA atau saya sendiri selaku Setiausaha Agung atau mana-mana pemimpin tertinggi KIMMA tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan parti Pejuang dan perkara itu tidak pernah terlintas di pemikiran kami.
“Ini merupakan satu tohmahan yang sengaja dicetuskan pihak tertentu demi survival dan kepentingan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Hussein mengulas kenyataan media baru-baru ini yang mengaitkan KIMMA dengan Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau memberitahu, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fitnah itu.