28 JAN : Kerajaan digesa meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin COVID-19, di mana proses rancangan pemvaksinan akan dijalankan di seluruh negara dalam tempoh tidak sampai sebulan lagi.
Gesaan tersebut dibuat oleh Gabungan Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini dengan memaklumkan masih banyak perkara perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin berkenaan.
“Kita juga mendesak pihak berkepentingan badan bukan kerajaan termasuk media, akademik, perniagaan, pihak berkuasa agama dan persatuan komuniti memainkan peranan dalam memastikan hanya maklumat berdasarkan bukti mengenai vaksin diterbitkan dan dikongsikan.
“Ini memandangkan terdapat banyak cerita mengenai antivaksin, teori konspirasi dan maklumat palsu yang berleluasa di media sosial serta dalam kumpulan sembang. Kerajaan perlu terlibat dengan semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan pendidikan awam mengenai vaksin dan menangani maklumat salah,” katanya menerusi kenyataan itu.
Selain itu, gabungan itu juga turut mencadangkan supaya kerajaan memberi keutamaan terhadap golongan rentan dan membangunkan kemampuan pembuatan vaksin jangka panjang.
“Penghuni rumah jagaan adalah antara golongan paling lemah dalam populasi, oleh itu, mereka perlu diberi keutamaan dalam jadual pemvaksinan. Ini termasuk pekerja rumah jagaan, golongan rentan yang lain, golongan kurang upaya, pekerja migran dan pelarian,” ujarnya.
Gabungan tersebut juga mencadangkan agar kerajaan merebut peluang untuk membangunkan kemampuan pembuatan vaksin jangka panjang dengan mengembangkan infrastruktur berkenaan di Malaysiasecara menyeluruh, iaitu bermula daripada penyelidikan sainstifik bertaraf dunia hingga ke pembuatan dan pengedaran di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah cita-cita tinggi, namun ia dapat dicapai kerana Malaysia sudahpun dilengkapi dengan sumber manusia dan teknologi berkaliber tinggi.
“Faktor ini akan mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap pengeluar asing. Lebih-lebih lagi, vaksin domestik dan infrastruktur farmaseutikal akan memberi impak positif yang besar terhadap ekonomi dan kedudukan global kita,”katanya lagi.