29 JAN: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mengesahkan dirinya telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19.
Beliau selesai menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bharu dan keluar pada jam 5 petang semalam.
“Saya ketika ini menjalani kuarantin tambahan selama lima hari di rumah,” katanya, hari ini.
Mohamed Nazri disahkan positif COVID-19 sejak 18 Januari lalu.
Beliau dijangkiti wabak tersebut selepas menjadi kontak rapat dengan seorang pesakit COVID-19 menerusi sidang media yang dilakukannya Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Menurut Mohamed Nazri, beliau melakukan ujian saringan selepas mengetahui terdapat kontak rapat yang hadir ke sidang medianya telah disahkan positif COVID-19.