29 JAN: Kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip kedaulatan undang-undang.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, walaupun skor dan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 menurun sedikit berbanding tahun sebelumnya, dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan tadbir urus kerajaan adalah jelas dan berterusan.
“Seperti mana yang telah dimaklumkan pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan bagi meningkat tadbir urus kerajaan selain mengurangkan dan menutup peluang-peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
“Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah dalam meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas tentang pengumuman CPI 2020 oleh Transparency International semalam yang menyaksikan Malaysia menerima skor 51/100 dan kedudukan ke-57 daripada 180 negara. – Oleh HUSSAINI AMRAN