30 JAN : Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri akan ditutup sementara bermula esok sehingga 2 Feb ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.
Berikutan itu, Pejabat Menteri Besar Johor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, semua temu janji akan ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan manakala orang ramai yang mempunyai urusan penting boleh menghubungi pegawai-pegawai yang berkenaan.
Kata kenyataan itu lagi, orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi bersama-sama memerangi pandemik COVID-19.
Sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman atau hand sanitiser serta kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.