31 JAN: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak perlu menghiraukan ‘tin kosong’ dalam kalangan pemimpin pembangkang yang hanya tahu menghentam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19 tanpa usul periksa.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, mereka mungkin tidak sedar bahawa Dr Adham bekerja siang dan malam setiap hari untuk memerangi COVID-19 di negara ini.
“Dia bukanlah ‘instafamous’ yang mencari populariti tetapi berkhidmat demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook malam tadi.
Beliau menempelak tindakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mendesak Dr Adham meletak jawatan berikutan situasi terkini COVID-19 yang menyaksikan peningkatan melebihi 5,000 kes sejak kebelakangan ini.
Najmil Faiz seterusnya mempersoalkan sama ada Salahuddin mengelamun atau hanya bergantung kepada media sosial untuk menghentam sahaja tanpa usul periksa.
“Saya syor agar pemimpin tersebut rajin-rajinlah melihat Instagram, Facebook, televisyen, berita terkini Menteri Kesihatan sebelum menuding jari menghentam tanpa usul periksa,” sindirnya.
Beliau turut memaparkan media sosial rasmi Menteri Kesihatan iaitu @dr.adhambaba (Instagram) dan Dr. Adham Baba (Facebook) supaya pemimpin dan penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) dapat membuka sedikit minda mereka.
Seperti yang dinyatakan oleh Najmil Faiz, antara inisiatif yang dilakukan oleh Dr Adham adalah:
- Menubuhkan sebanyak 213 pusat penilaian COVID-19 bagi memudahkan penilaian pesakit yang kuarantin di rumah.
- Menjalankan kerjasama dengan pelbagai negara seperti Korea Selatan dalam mendapatkan sumbangan RT-PCR COVID-19.
- Giat melakukan rundingan dengan syarikat pengeluar vaksin COVID-19.
- Menghantar keperluan barangan kritikal untuk membendung COVID-19 di Sabah.
- Melaksanakan Pelan Imunisasi Kebangsaan.
- Membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di kawasan yang dikenal pasti.
“Teruskan bekerja untuk rakyat YB Menteri Kesihatan. Tak perlu peduli dengan ‘tin kosong’ yang tidak menyumbang apa-apa,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN