31 JAN: Kerajaan negeri Selangor perlu menghentikan perkara-perkara yang boleh menyebabkan rakyat menjadi susah khususnya kepada peniaga kecil yang kini terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mencadangkan agar kerajaan negeri menetapkan satu dasar yang jelas untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah bagi mengelakkan orang ramai menghadapi masalah lebih-lebih lagi ketika negara dalam situasi darurat.
“Saya fikir kerajaan negeri kena berhenti buat kerja gila macam ni. Kenapa nak diganggu peniaga yang nak cari makan dalam keadaan negara tengah darurat?
“Peniaga ramai terkesan terutama dalam tempoh darurat. Ini bukan kali pertama berlaku, dulu pernah terjadi di Puchong dan sebelum ini di Rawang.
“Kalau ini boleh dibuat (dasar) saya yakin rakyat boleh cari makan dalam waktu darurat ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.
Noh hari ini meninjau aktiviti perniagaan di pasar pagi berkenaan selepas ia menjadi kecoh sejak beberapa hari lalu apabila peniaga Pasar Pagi Sungai Long menyuarakan ketidakpuasan hati apabila diarahkan menandatangani surat aku janji yang membolehkan mereka beroperasi di kawasan yang sama.
Mereka mendakwa dalam akujanji itu menyatakan para peniaga diarahkan berpindah ke Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long pada 2 Mac depan.
Dalam pada itu, Noh yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB turut menyokong keputusan kerajaan negeri Selangor yang membenarkan peniaga di situ meneruskan aktiviti perniagaan untuk tempoh dua tahun lagi sementara PBT di kawasan tersebut menyiapkan pasar kekal yang baharu.
“Ini baru betul. Nak jadi kerajaan kena bijak. Nasib baik peniaga bangkit menyuarakan bantahan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH