31 JAN: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihak berkuasa yang berkaitan agar menjalankan pemuliharaan serta pemeliharaan lebih intensif terhadap bangunan bersejarah di Kuala Lumpur, khususnya yang mempunyai kaitan dengan Selangor.
Baginda bertitah demikian dalam kenyataan yang disiarkan Istana Shah Alam sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan esok melalui laman Facebook Royal Selangor Office, hari ini.
Sulan Sharifuddin bertitah, kebanyakan bangunan berkenaan memiliki nilai sejarah tinggi dan menjadi tumpuan pelancong.
Baginda memberi contoh, Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirasmikan pada 1897 dan pernah menjadi pusat pentadbiran negeri semasa Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor sehingga 1974.
“Mengimbas kembali, baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam bersama kerajaan Selangor di bangunan terbabit pada 1968.
“Baginda bimbang jika bangunan dan monumen seumpamanya tidak dipulihara secepat mungkin dan terbiar dimamah usia, akhirnya ia akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan.
“Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya merugikan negara,” jelas Istana Shah Alam.
Sultan Sharafuddin bertitah, bangunan bersejarah seperti Carcosa Seri Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTM), Istana Negara lama serta Stadium Merdeka yang sarat dengan kisah sejarah pembentukan negara kebanyakan mempunyai kaitan rapat dengan Selangor.
Titah baginda, seni bina Moorish dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan bersejarah sekitar Kuala Lumpur juga mempunyai cerita unik tersendiri dan perlu dipulihara untuk dihargai serta dikagumi generasi akan datang. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH