1 FEB: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan menghantar ustaz bertauliah ke Sabah membimbing komuniti Bajau Laut yang baru memeluk Islam hasil bantuan aktivis serta pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Menurutnya, kerajaan ada penggerak ustaz yang bertauliah dan berkaliber untuk terus berada dengan kelompok berkenaan bagi memberikan bimbingan kepada penduduk Bajau Laut itu, termasuk yang lain-lain di Sabah.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa memberi bantuan dan bimbingan setiap kali ada pihak yang baru memeluk Islam sejak dari dulu lagi.
“Kita akan hantar penggerak ataupun petugas dakwah untuk kita bimbing setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam, contohnya masyarakat Orang Asli.
“Kerajaan akan bantu dari pelbagai aspek bimbingan keagamaan untuk memastikan mereka ini memahami secara mendalam berhubung Islam,” katanya selepas menyampaikan bantuan Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Hospital Tumpat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ustaz Ebit Lew berhubung rasa gembiranya apabila 150 penduduk Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.
Semalam, Ebit Lew menerusi hantaran facebooknya memberitahu beliau memimpin ucapan syahadah dihadapan 157 orang penduduk Bajau Laut yang memeluk Islam.
“Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini.
“Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam. Mereka tiada kepercayaan agama. Dari suku Bajau Laut Semporna Sabah atau digelar gipsi laut.
“Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut,” katanya.