1 FEB: Gelombang kedua banjir di Sarawak menyaksikan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 186 orang pagi ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak satu dalam kenyataan hari ini, empat PPS kini dibuka di dua daerah yang dilanda banjir sejak kelmarin.
Daerah Serian mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 159 orang yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Kampung Lintang Baru, Dewan Kampung Betong Kenawit dan Kampung Rimba Padi, sementara di daerah Simunjan, 27 mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Lubok Buntin.
Sarawak dilanda banjir semula Sabtu lalu apabila kawasan perkampungan di Teluk Buntin di daerah Simunjan dinaiki air ekoran keadaan hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari serta fenomena air pasang besar yang berlaku serentak.
Laporan ramalan cuaca mingguan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi menyatakan hujan dijangka berterusan sepanjang minggu ini.