1 FEB: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan telefon bimbitnya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak awal pagi tadi.
Berikutan itu, beliau akan membuat laporan polis untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Saya memohon berbanyak-banyak maaf kepada semua pihak yang mungkin cuba berkomunikasi dengan saya menerusi talian telefon bimbit.
“Saya ingin memaklumkan talian telefon bimbit saya dipercayai digodam sejak awal pagi ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Difahamkan, kejadian itu merupakan kali pertama kes talian telefon Wan Rosdy digodam.
Baru-baru ini, telefon bimbit milik Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut digodam dan menyebabkan aplikasi WhatsApp dalam peranti itu diambil alih oleh pihak lain.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini mengingatkan orang ramai supaya memastikan aplikasi dalam telefon sentiasa dikemas kini bagi mengelak maklumat peribadi digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Suruhanjaya itu berkata pihaknya menerima aduan mengenai insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi.
Modus operandi penipuan dalam talian adalah dengan melakukan penyamaran sebagai individu berpengaruh dan cuba mempengaruhi mangsa memuat turun dan memasang aplikasi pemesejan segera seperti Telegram dan Viber ke dalam sistem telefon mangsa.