2 FEB: Kadar kompaun RM1,000 yang dikenakan pihak berkuasa terhadap individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekarang adalah memadai.
Berikutan itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan tidak perlu menaikkan nilai kompaun berkenaan kadar sekarang mencukupi dan sudah tinggi bagi golongan berpendapatan rendah (B40).
Tambahan pula, Aminuddin berkata rakyat sekarang amat terkesan akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
“Justeru, secara peribadi saya tidak setuju dengan cadangan kerajaan untuk menaikkan nilai kompaun sehingga melebihi RM1,000 sekarang tidak ramai yang mampu bayar, tambahan pula mungkin mereke terpaksa bebuat demikian demi kelangsungan hidup.
“Kalau mereka yang berstatus VVIP dan orang kaya mungkin mereka mampu bayar jika denda dikenakan mencecah RM10,000 sekali pun.
“Menaikkan denda bukanlah satu-satunya penyelesaiaan kepada jangkitan COVID-19 kerana banyak lagi cara lain termasuk meningkat kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai bahaya dan kesan penyakit COVID-19,” katanya ketika diminta mengulas cadangan kerajaan untuk menaikkan nilai kompaun dikenakan terhadap individu melanggar SOP dan PKP dalam masa terdekat bagi mengurangkan jangkitan COVID-19 di Malaysia sekarang.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah kompaun yang lebih setimpal akan dikenakan kepada terhadap syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk mengekang penularan COVID-19.
Bagaimanapun menurut beliau, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu dipinda bagi membolehkan jumlah kompuan lebih tinggi dikenakan terhadap syarikat yang melanggar SOP. – Oleh HAIKA KHAZI