3 FEB : Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak Rm155 juta bayaran rayuan Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) akan disalurkan kepada 52,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro melalui akaun bank yang didaftarkan pada 5 Februari ini.
Kata Tengku Zafrul menerusi satu kenyataan hari ini, mengambil kira GKP 1.0 dan GKP 2.0 termasuk rayuan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.7 bilion.
Jelasnya, di bawah GKP 1.0 dan 2.0, lebih 850,000 PKS mikro di seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan keseluruhan bantuan berjumlah RM2.55 bilion.
“Semakan status kelulusan boleh dibuat mulai esok melalui portal https://gkp.hasil.gov.my. Setiap permohonan rayuan yang diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah disemak silang atau diverifikasi dengan data agensi kerajaan yang berkaitan.
“Ini termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan PKS mikro benar-benar layak menerima bantuan ini dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Kerajaan berharap bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya PKS mikro yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP atau PKP Bersyarat,” ujarnya.
Bagi tahun 2021, kerajaan di bawah Belanjawan 2021 memperuntukkan RM50 juta bagi bantuan kewangan sebanyak RM1,000 melalui GKP Tambahan yang akan iberikan kepada 50,000 peniaga dan penjaja di Sabah.
Perluasan inisiatif bantuan GKP Tambahan atau GKP PERMAI seperti diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) melibatkan peruntukan tambahan hampir RM830 juta.
Ia dijangka akan memberi manfaat kepada 815,000 PKS di semua negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bayaran RM1,000 manakala 35,000 PKS di luar kawasan PKP akan menerima RM500.