Oleh: HUSSAINI AMRAN
TANPA alasan yang kukuh, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mula mendesak menteri-menteri Kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meletak jawatan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kata, kerajaan PN gagal menangani isu kehilangan pekerjaan dan kerugian yang dialami oleh syarikat perniagaan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pula minta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba meletak jawatan apabila jumlah kes harian COVID-19 mula melebihi 5,000.
Namun, desakan mereka itu tidak memberi sebarang kesan sebab rakyat dapat melihat sendiri cara kerajaan PN menangani krisis COVID-19 adalah lebih baik berbanding PH dahulu.
Rakyat pasti tidak akan lupa insiden perebutan jawatan Perdana Menteri yang menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan mengejut melepaskan jawatan yang diidamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Akibatnya, negara kita yang baru sahaja diserang COVID-19 berada dalam keadaan tidak menentu.
Mujurlah gabungan parti-parti politik yang membentuk kerajaan PN hari ini tampil menyelamatkan keadaan dan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti PENJANA, PRIHATIN dan PERMAI bagi menangani kesan ekonomi akibat pandemik berkenaan.
Kita juga tidak lupa apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin PH sendiri apabila rakyat bimbang tentang cara kerajaan ketika itu menangani situasi COVID-19.
Kata Datuk Mohamaddin Ketapi yang menjadi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada masa itu: “Kita juga mengharapkan agar tiada diskriminasi dilakukan seperti cuba menjauhkan diri daripada pelancong-pelancong khususnya pelancong China kerana pelancong yang datang tidak kira dari negara mana sekalipun telah disaring di pintu-pintu masuk negara.”
Reaksi beliau itu seolah-olah memandang remeh terhadap keresahan rakyat ekoran kegagalan pentadbiran PH menutup pintu sempadan negara walaupun COVID-19 yang mula meledak di Wuhan, China telah tersebar ke seluruh dunia.
Begitu juga dengan bekas Menteri Kesihatan PH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang dilaporkan berkata: “Kita tertakluk kepada WHO PHEIC dan kita tidak mahu melanggar peraturan pertubuhan tersebut tetapi dalam masa yang sama kita akan menimbang dan membuat penilaian terhadap keperluan negara.”
Itu adalah jawapan Dr Dzulkefly yang juga sekutu Guan Eng dalam PH serta rakan separti Salahuddin dalam PAN apabila ditanya tentang desakan rakyat meminta kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari China.
Reaksi yang paling ‘win’ adalah dari Dr Mahathir sendiri yang berkata: “Pelancong dari China kadang-kadang meningkat sehingga dua million, kita hendak simpan dia di mana? Takkan buh (letak) kat kandang lembu?”
Mengimbau kembali reaksi pemimpin-pemimpin PH terbabit, adalah lebih baik Guan Eng dan Salahuddin duduk diam-diam sahaja.
Buat malu sahaja berkokok menyalahkan orang lain sedangkan ekor sendiri berbau busuk terpalit najis.