3 FEB: Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, meninggal dunia selepas dimasukkan ke di Hospital Sungai Buloh sejak beberapa hari lalu.
Berita sedih pemergian Allahyarham Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, dikongsi oleh beberapa pemimpin UMNO termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo menerusi laman Facebook mereka.
“Innalillahi wainnaillaihi rojiun. Dukacita dimaklumkan sahabat saya dalam Perhubungan UMNO Negeri Selangor Dato’ Ismail Kijo Ketua UMNO Bahagian Ampang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Sungai Buloh.
“Sama-sama kita doakan semoga Allahyarham diletakkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Salam takziah kepada seluruh anggota keluarga. Al-Fatihah,” kata Noh.
Sementara itu, Mohd Khir mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman di syurga yang penuh nikmat.
Difahamkan, Ismail dimasukkan ke hospital selepas didapati positif COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI