3 FEB: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji dan umrah pada tahun ini.
Beliau juga bercadang akan ke Mekah dalam masa terdekat, untuk meninjau sendiri pelbagai persiapan dibuat oleh kerajaan Arab Saudi sebelum menerima jemaah haji dan umrah pada tahun ini.
Zulkifli berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai status ibadah haji dan umrah beberapa hari lagi selepas perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi selesai.
“Masalah ini insya-Allah kita akan bincangkan dengan kerajaan Arab Saudi. Saya sendiri bercita-cita dan bercadang pergi ke Arab Saudi melihat pelbagai isu terutamanya umrah masa ini dan ibadah haji pada tahun ini.
“Insya-Allah dalam beberapa hari lagi saya akan beri kenyataan yang tuntas kerana kita sekarang dalam proses mengadakan perbincangan,” katanya ketika ditanya mengenai status urusan Haji 2021 selepas kerajaan tidak menghantar jemaah pada tahun lalu akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelepasan Misi Bantuan Banjir Ke Jerantut, Pahang anjuan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama GOGOPASAR Agro Fresh Technology Group SDN. BHD di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini Zulkifli menjangka beberapa syarat dan caj tambahan baharu akan dikenakan kepada bakal haji pada musim akan datang (1442H/2021M).
Pada Oktober tahun lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengesahkan Malaysia dan Arab Saudi sudah memulakan rundingan awal mengenai kuota haji tahun 2021.