3 FEB: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengunjurkan jualan sebanyak 240,000 kenderaan tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap model-modelnya serta lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Menurut Perodua, sasaran tersebut sembilan peratus lebih tinggi berbanding 220,163 unit yang dijual tahun lalu.
Perodua menambah, kenderaan keluarannya menguasai 41.6 peratus bahagian daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 529,434 kenderaan yang dijual tahun lalu dengan unit terjual terdiri daripada 66,330 Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza dan satu model lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, 2021 akan menjadi tahun pemulihan Perodua susulan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir Jun 2021, perkembangan terkini vaksin COVID-19 dan permintaan berterusan terhadap semua modelnya.
“Dengan jangkaan pemulihan jualan Perodua, kami menjangkakan pembelian komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini.
“Kami juga ingin menambah stok kami dengan menaikkan sasaran pengeluaran kami kepada 272,000 kenderaan tahun ini – tertinggi dalam sejarah kami. Kenaikan ini akan membawa kepada penghantaran yang cepat pada tahun ini,” jelasnya.
Sasaran pengeluaran Perodua bagi 2021 itu merupakan peningkatan sebanyak 23 peratus daripada 220,968 unit yang dikeluarkan pada 2020, dan dengan kesemua modelnya mengandungi lebih 90 peratus komponen tempatan, Perodua kekal menjadi pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia.
Zainal Abidin memberitahu, Perodua juga menyasar pengambilan servisnya meningkat 20 peratus daripada 2 juta unit pada 2020 kepada 2.4 juta unit pada 2021, terdiri daripada pelanggan semasa serta baharu.