4 FEB: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sekali lagi menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan isu membabitkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.
Sultan Sharafuddin bertitah, gejala rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat dan dikhuatiri mampu menghancurkan negara yang disayangi ini.
Berikutan itu, baginda menitahkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa di sisi Islam.
“Baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah ini juga telah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara dan seterusnya telah mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa. Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu.
“Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.
“Oleh yang demikian, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah,” jelas kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.
Baginda bertitah, pelaku-pelaku rasuah mesti dibanteras dengan segera bersandarkan bukti-bukti kukuh, dan diadili di mahkamah dengan pantas dan telus supaya menjadi tauladan kepada masyarakat.
“Setiap rakyat agar memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.
“Suasana ketika ini, diburukkan lagi dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecah-belahkan rakyat.
“Untuk itu, beta menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah, demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.
“Beta percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti untuk negara yang disayangi ini serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara akan terus maju ke hadapan,” titah baginda. – Oleh HAIKA KHAZI