Kapasiti solat jemaah Wilayah Persekutuan diperluaskan
4 FEB : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kehadiran jemaah di masjid dan surau di wilayah tersebut untuk solat Jumaat diperluaskan kapasitinya sehingga separuh daripada kapasiti sebenar masjid bermula 5 Februari ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail menjelaskan, perluasan kapasiti jemaah di masjid dan surau itu telah pun mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.
“Selain masjid, surau-surau juga diberi kebenaran khas untuk melaksanakan solat Jumaat di kawasan masing-masing dengan kapasiti yang sama.
“Manakala tazkirah sebelum solat Junaat pula dibenarkan dalam masa 30 minit sebelum solat Jumaat bermula,” jelas kenyataan itu.
Katanya lagi, kehadiran jemaah solat fardu lima waktu juga turut diperluaskan dengan kapasiti separuh daripada jumlah sebenar kapasiti masjid atau surau tersebut.
“Solat-solat berjemaah dengan perluasan kapasiti tersebut dibenarkan dengan penjarakan fizikal 1.5 meter antara setiap jemaah dan mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.