4 FEB: Pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ mencerminkan perasaan tidak puas hati beliau terhadap kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, berkemungkinan banyak perkara yang mahu dilakukan namun telah dihalang oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Mungkin ada kenyataan itu betul dan ada kenyataan mungkin lebih kepada masalah peribadi dia sendiri yang mungkin tak puas hati kerana dihalang oleh pentadbiran PH.
“Pendedahan dari Tommy juga rakyat dilihat tak ambil peduli pun kerana mereka sekarang ini lebih memikirkan kelangsungan dalam meneruskan kehidupan ketika negara masih lagi diancam COVID-19,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, buku tulisan Tommy itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi berhubung isu pelantikan Perdana Menteri dan pentadbiran ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu.
Beberapa dakwaan yang dibuat Tommy dalam buku tersebut juga telah mencetuskan bantahan daripada para pengamal undang-undang di negara ini.
Dalam pada itu, Yazid juga turut mempersoalkan mengapa Thomas kini baru untuk bertindak mendedahkan pelbagai perkara dan tidak melakukan perkara ini ketika bergelar Peguam Negara di bawah pemerintahan kerajaan PH.
“Dia kata dia dihalang untuk menjalankan tugas sebagai Peguam Negara kenapa ketika itu tidak disuarakan yang mana PH ketika itu asyik membawa semua perkara mesti telus.
“Sebenarnya banyak kes-kes yang boleh diselesaikan dan bukanlah makan masa yang lama seperti kes-kes rasuah mahupun penyelewengan kuasa kerana sebagai contoh kes Adib waktu tu dia sebagai peguam negara patut menyelesaikan kes itu namun berlaku sebaliknya,” katanya.
Pendedahan yang dilakukan Tommy menerusi bukunya yang berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ juga didakwa satu perbuatan melanggar sumpah rahsia sebagai bekas Peguam Negara.
Semalam, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Tommy seharusnya memegang teguh kepada prinsip sumpah setia jawatan serta sumpah simpan rahsia ketika dilantik sebagai Peguam Negara. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH