4 FEB: Semua premis perniagaan dan pusat keagamaan diseru memperluaskan konsep Tabung Makanan bagi meringankan beban rakyat serta membantu kelangsungan hidup mereka, sekali gus menggalas tanggungjawab terpuji sebagai rakyat Malaysia.
Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, dalam keadaan perniagaan dan ekonomi tidak menentu sekarang, ia bukan satu bentuk paksaan kepada setiap premis perniagaan untuk menyediakan ruang Tabung Makanan.
Menurut beliau, ia sekadar sebagai satu tanggungjawab terpuji dan bergantung kepada kemampuan masing-masing untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.
“Inilah masanya konsep Tabung Makanan perlu ditonjolkan pada setiap premis perniagaan yang bukan setakat merangkumi pasar raya berskala besar atau sederhana malahan pasar basah, pasar tani, pasar malam, kedai-kedai runcit, restoran, kedai cermin mata, kedai farmasi, stesen minyak dan kedai basikal sekali pun seboleh-bolehnya menyediakan satu tempat khas bantuan keperluan asas barangan.
“Selaras dengan usaha murni ini, pusat keagamaan seperti pengurusan surau, masjid, tokong, kuil dan gereja juga boleh menyokong konsep Tabung Makanan ini dengan lebih meluas kerana keberadaan pusat keagamaan ini sangat dekat dalam kelompok komuniti.
“Pengurusan pusat keagamaan dapat berperanan lebih cakna dan dekat di hati mereka yang sangat memerlukan bantuan ketika ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Razali memberitahu konsep Tabung Makanan itu apabila digerakkan secara bersepadu turut akan memberi impak yang efektif kepada kerajaan yang melaksanakan Program Bakul Makanan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi kerajaan lain.
“Konsep Tabung Makanan berlandaskan sikap kesukarelawanan ini membolehkan jiwa kebajikan terus dipupuk dalam kalangan rakyat yang akan memberikan manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan tidak kira kelompok B40, M40, pelajar dan mahasiswa, OKU (orang kurang upaya), anak-anak asnaf, mangsa banjir, gelandangan serta rumah kebajikan orang tua,” katanya.
Di samping itu,Idris yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata pihaknya turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC), badan-badan yayasan dan seluruh wakil rakyat yang telah menggerakkan bantuan dan gerak kerja dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Terutamanya dalam menyelesaikan isu komunikasi internet serta permasalahan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang terkesan kepada pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah di seluruh negara.
“Sikap kebersamaan seluruh rakyat Malaysia bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah satu tanggungjawab terpuji untuk terus tabah dan bersabar dalam mendepani COVID-19 sejak setahun lalu sehingga sekarang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH