4 FEB : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma Jakatar pada pukul 4.30 petang (waktu tempatan) untuk lawatan rasmi dua hari ke negara republik tersebut.
Ini merupakan lawatan dua hala pertama Munyiddin ke negara-negara Asia Tenggara sejak menjawat jawatan Perdana Menteri pada Mac lepas.
Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar.
Esok, Perdana Menteri akan diberikan sambutan negara di Istana Merdeka di sini, dan kemudiannya kedua-dua pemimpin akan mengadakan perbincangan empat mata sebelum mengadakan persidangan media bersama.
Majlis yang pada mulanya dirancang untuk diadakan di Istana Bogor, telah dipindahkan lokasinya ke Istana Merdeka di Jakarta selepas Indonesia memahami keadaan dan kepentingan logistik semasa tempoh pandemik ketika ini.
Lawatan ini akan menyediakan platform bagi kedua-dua pemimpin mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama kedua-dua negara.
Ia juga akan membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar terbaharu kerajaan dan pendiriannya, terutama berhubung isu-isu ysng memberi manfaat bersama.
Antara isu yang dijangka akan dibincangkan adalah berkaitan dengan diskriminasi minyak sawit, jerebu, potensi pelaburan, dan perdagangan usaha sama, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), dan kerjasama dalam menangani COVID-19.