4 FEB: Kedudukan PKR dan DAP di Bintulu semakin goyah berikutan ramai ahli parti-parti tersebut menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Ketua BERSATU Bahagian Bintulu, Duke Janteng berkata, mereka tertarik dengan keberkesanan serta keikhlasan BERSATU dalam mengutamakan agenda menaikkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar.
Malah, beliau memberitahu, jumlah keahlian BERSATU di Bintulu naik mendadak melebihi 20,000 orang sejak tiga bulan lalu.
“Kaji selidik yang dijalankan mendapati antara faktor utama penyertaian begitu ramai dalam BERSATU kerana yakin dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Di Bintulu yang merupakan kawasan luar bandar, agenda utama BERSATU bahagian ini ialah memperjuangkan dan membantu menaiktaraf ekonomi penduduk.
“Penduduk rasa mereka dibela dan tidak diabaikan oleh pimpinan bahagian,’’ katanya seperti dilaporkan dalam portal rasmi BERSATU.
Duke menambah, BERSATU Bahagian Bintulu akan terus memberi penerangan tentang agenda BERSATU iaitu berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kedudukan mereka.