4 FEB: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihati umat Islam di negara ini agar merujuk sebarang kekeliruan dan permasalahan mengenai agama kepada Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) supaya mendapat penerangan yang lebih jelas berhubung sesuatu permasalahan.
Menurut beliau, adalah lebih selamat sekiranya ada persoalan mengenai hukum hakam, keraguan dan fahaman agama dirujuk kepada Mufti terlebih dulu untuk mendapatkan penjelasan.
“Segala pandangan dan buah fikiran berhubung sesuatu isu perlu diambil daripada mereka yang berkuasa seperti pejabat mufti atau Jabatan Mufti. Pihak lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam akan sokong mufti masing-masing.
“Dengan ini pandangan dikemukakan itu akan nampak lebih terarah dan tersusun serta diyakini. Kebenaran yang begitu yang kita mahukan.
“Saya tahu setiap orang ada kelemahannya, namun jawapan rasmi daripada pihak berkuasa itu akan jadi lebih selamat,” katanya pada sidang media selepas melepaskan Konvoi Bantuan Banjir Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Kelantan, di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu Agama Melayu yang didakwa disebarkan seorang wanita yang tular melalui media sosial baru-baru ini.
Kata Zulkifli, sebelum ini sudah banyak pandangan diberi mengenai permasalahan yang dikemukakan dijadikan sebagai rujukan.
“Banyak pandangan diberikan sebelum ini sudah kami bukukan, ia boleh dirujuk di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan JAKIM. Semua (persoalan) itu kita jawab dengan tuntas.
“Mengenai tindakan lanjut terhadap wanita terbabit selepas dipanggil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), saya masih belum menerima maklumat lanjut mengenai hal itu, namun kita akan menyelesaikan isu berkenaan mengikut proses sepatutnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
“Bagaimanapun, kita tidak akan memanggil Ustaz Ebit Lew untuk bekerjasama memberikan sumbangan, sebaliknya mengalu-alukan beliau dan semua NGO serta syarikat untuk bekerjasama dengan kita.
“Kita menyasarkan sumbangan ini dapat diberikan di seluruh Malaysia kepada golongan B40, M40, fakir miskin dan golongan terdesak yang memerlukan bantuan,” katanya.
Lima lokasi dipilih di Kelantan yang dipilih untuk misi bantuan banjir berkenaan ialah Gua Musang, Kuala Krai, Kampung Jeli, Pekan Tanah Merah dan Pasir Mas membabitkan sumbangan 31,000 unit dapur memasak, cerek elektrik, kain batik, kain pelekat, telekung, sejadah lampin pakai buang serta barangan makanan.