5 FEB: Bilangan kes kematian akibat jangkitan COVID-19 membimbangkan apabila 19 kes kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 845 kematian.
Kebanyakan mereka yang meninggal dunia terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, strok, pesakit buah pinggang dan paru-paru.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dari segi jumlah kes baharu positif menunjukkan sedikit penurunan iaitu dari 4,571 kes semalam kepada 3,391 kes hari ini, termasuk 3,387 penularan tempatan dan empat kes import, sekali gus menjadikan keseluruhannya 234,874 kes.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga melaporkan 3,392 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya kepada 185,278 kes atau 78.9 peratus, manakala 48,751 kes dengan kebolehjangkitan.
“Daripada 3,387 kes tempatan, sebanyak 2,439 kes membabitkan warganegara (72.0 peratus),manakala 948 kes atau 28 peratus adalah bukan warganegara.
“Sehingga hari ini seramai 310 pesakit masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 134 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,228 kes iaitu 36.2 peratus daripada 3,391 kes dilaporkan di seluruh negara hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah ini, sebanyak 816 kes (66.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan, diikuti oleh Johor sebanyak 598 kes (17.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 395 kes (11.6 peratus).
“Sebanyak 145 kes (4.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (52 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (23 kes), Kluster Tembok Taiping (21 kes), Kluster Tembok Renggam (16 kes), Kluster DTI Sepang 2 (13 kes), Kluster Tembok Mempaga (13 kes), Kluster Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes), dan Kluster Telok Mas (1 kes).
“Kes-kes kematian pada hari ini membabitkan tujuh kes di Kuala Lumpur, lima kes di Sabah, masing-masing tiga kes di Selangor dan Sarawak, serta satu kes di Perak.
“Sebanyak 17 kes kematian melibatkan warganegara dan dua kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.