5 FEB : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, pertemuan beliau bersama Presiden Indonesia, Jokowi Widodo telah membawa kepada persetujuan yang akan memacu kerjasama antara Malaysia-Indonesia ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut Muhyiddin, pertemuan bersama Jokowi itu amat bermakna kerana dapat berbincang secara bersemuka, di mana ia memberi lebih banyak ruang untuk memberi pandangan dalam langkah meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi atau lebih strategik.
“Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Indonesia berakhir dengan beberapa persetujuan bersama dicapai yang tentunya akan memacu hala tuju hubungan kerjasama kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi.
“Pada sesi pertemuan itu, saya membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.
“Pertemuan bersama Bapak Jokowi pada sesi ‘veranda talk’ merupakan satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah Muhyiddin, Jokowi turut meminta beliau sentiasa berhubung dengannya bagi membincangkan apa-apa saja isu yang berkaitan dengan kepentingan kedua-dua buah negara.
Dalam lawatan rasmi selama dua hari itu, Muhyiddin berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama presiden republik itu di Masjid Baiturrahim di perkarangan kompleks Istana Merdeka.
“Bagi pihak Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemerintah Indonesia, khususnya kepada Bapak Jokowi Widodo atas sambutan amat luar biasa yang diberikan, walaupun dalam keadaan pematuhan ketat protokol kesihatan akibat pandemik COVID-19.
“Semoga silaturahim Malaysia-Indonesia terus kukuh. Terima kasih Bapak Presiden,” ujar Muhyiddin.