5 FEB : Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini membuat lawatan mengejut ke tiga tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur bagi memeriksa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pengurusan penempatan atau kediaman pekerja.
Menurut Fadillah menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, lawatan pertama beliau ke tapak projek pembinaan pangsapuri mewah di Bukit Bintang mendapati, tapak bina itu mematuhi SOP sepenuhnya dan menyediakan penempatan pekerja yang serba lengkap, serta menerima kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Lawatan mengejut ke tapak pembinaan kedua melibatkan pembinaan pangsapuri mewah di Jalan U-Thant mendapat tapak bina tersebut mematuhi SOP tetapi tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di dalam Akta 446 untuk penempatan pekerja serta tidak mendapat kelulusan DBKL.
“Justeru, kontraktor terbabit diberi amaran dan tempoh masa 14 hari untuk memperbaiki keadaan penempatan pekerja tersebut dan mendapatkan kelulusan DBKL. Jika gagal, tapak berkenaan akan diarah tutup,” ujarnya.
Manakala lawatan beliau ke tapak pembinaan ketiga yang berada di Kepong, iaitu projek pangsapuri servis mendapati tapak bina itu melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Sehubungan itu, tapak pembinaan ini telah diarah tutup oleh CIDB kerana didapati tidak mematuhi SOP, seperti 30 peratus tidak memakai pelitup muka, dan pengambilan suhu tidak direkodkan.
“Selain tidak patuh SOP, pasukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati penempatan pekerja di tapak pembinaan di Kepong ini tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. CIDB telah mengeluarkan arahan tutup tapak kepada tapak pembinaan terbabit,” tegasnya.
Turut sama dalam lawatan mengejut ke tapak bina hari ini ialah Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid; Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan, Zainora Zainal dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Bin Che Awang.
Sehubungan itu, Fadillah mengingatkan semua pihak di dalam sektor pembinaan supaya memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 di tapak projek masing-masing dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Hanya dengan kerjasama ini kita dapat memastikan aktiviti pembinaan dapat diteruskan bagi menyokong kelangsungan sektor ekonomi negara.
“Ia tanggungjawab kita bersama, untuk menyelamatkan rakyat dan negara dari COVID-19. Bersama-sama kita jaga kita, untuk memastikan kita menang dalam melawan COVID-19, demi kelangsungan kehidupan dan kesihatan rakyat,” ujarnya.