5 FEB: Pemuda PAS menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik penerbitan cetakan buku Tan Sri Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice In Wilderness’ serta mengharamkannya daripada disebarkan.
Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata, tindakan tegas dan hukuman berat perlu dilaksanakan bagi sesiapa yang berniat untuk menyebar dan menerbitkan buku yang sarat dengan kebencian itu juga wajar dipertimbangkan.
Menurut beliau, pihaknya membuat justifikasi itu setelah meneliti buku setebal lebih 500 muka surat tersebut yang memperincikan ‘peristiwa’ hitam sepanjang karier Tommy sebagai peguam dan Peguam Negara.
Nazir berkata buku tersebut juga mendedahkan tuduhan-tuduhan melampau terhadap beberapa kes berprofil tinggi yang mana segala tuduhan ini datangnya daripada bekas Peguam Negara bukannya peguam biasa.
“Terdapat unsur penghinaan terhadap institusi diraja dan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, apabila penulis seolah-olah mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu berkenaan pelantikan beliau dan kemampuan Seri Paduka untuk membuat keputusan dalam pelantikan Peguam Negara.
“Tulisan beliau juga menggambarkan terdapat manipulasi kotor yang sedang berlegar dalam institusi kehakiman dan perundangan yang akan menyebabkan keraguan yang tinggi oleh rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini
Nazir menambah, tindakan Thomas menimbulkan kembali keraguan terhadap peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang mengorbankan ratusan nyawa akibat daripada rusuhan kaum dan menuduh beberapa individu menjadi dalang daripada peristiwa itu tanpa bukti yang sahih.
“Pemuda PAS berpendapat penerbitan buku itu boleh menjadi akibat yang buruk jika ia berada di pasaran dan dibaca oleh masyarakat yang tidak arif berkenaan sistem perundangan negara,” katanya.
“Justeru, beliau menambah, selain tindakan pengharaman penerbitan buku itu, pihak turut mencadangkan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Tommy semasa perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara ditarik semula.
“Ini perlu disebabkan perbuatan tulisan yang sarat dengan tohmahan dan fitnah kepada institusi diraja dan institusi kehakiman dan perundangan di negara ini,” katanya.