5 FEB : Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) hari ini mendedahkan seorang lelaki yang melanggar standard operasi prosedur (SOP) di Singapura bukan sahaja dipenjara, malah ditarik balik status penduduk tetap (PR) yang diberi kerajaan republik itu kepadanya.
Lelaki berkenaan, Chong Tet Choe, 47, didapati keluar dari rumah sebanyak empat kali untuk membeli makanan dan menambah nilai kredit pada telefon bimbitnya walaupun doktor mengarahkannya supaya duduk di rumah kerana sakit.
Chong kemudian dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu pada Ogos lalu kerana melanggar peraturan COVID-19 itu.
“Mereka yang gagal mematuhi notis jangan keluar rumah boleh didakwa di bawah Peraturan Penyakit Berjangkit (COVID-19 – Perintah Jangan Keluar Rumah) 2020 dan dalam kes Tet Choe, ICA sudah menarik balik status PRnya semalam.
“Status penduduk tetap Singapura seseorang yang disabit kesalahan akan diteliti semula oleh pihak kerajaan.
Lelaki itu mengaku bersalah tahun lalu atas tiga tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan, di mana dia berkemungkinan positif COVID-19.
Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga S$10,000 (RM30,440) atau penjara sehingga enam bulan.
Menurut ICA, warga asing mungkin menghadapi ‘tindakan pentadbiran lanjut’ oleh ICA atau Kementerian Tenaga Manusia, seperti menarik balik atau menyingkatkan tempoh permit dan pas untuk kekal serta bekerja di Singapura.