5 FEB: Penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang mengaitkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan satu sangkaan jahat tanpa secebis bukti pun untuk menyokong pandangan tersebut.
Bekas Pengerusi CIMB, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak melahirkan rasa kekesalan terhadap penulisan bekas peguam negara itu yang mengaitkan Allahyarham bapanya sebagai dalang tragedi 13 Mei 1969.
“Bekas Peguam Negara itu berpandangan bahawa Tun Abdul Razak mendapat manfaat daripada rusuhan yang tercetus dan Allahyarham dalam keadaan tergesa-gesa mahu menjadi Perdana Menteri kerana telah dimaklumkan akan mati.
“Pandangan tersebut tidak disokong oleh sebarang bukti, malah fakta bekas peguam negara itu salah kerana Tun Abdul Razak hanya disahkan menghidap barah pada November 1969 dan doktor berpandangan kemungkinan tekanan berhadapan dengan rusuhan kaum itu menjadi punca Allahyarham mendapat penyakit tersebut,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Nazir turut menepis kenyataan Tommy tentang keputusan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melantik Tun Abdul Razak sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara.
Tambah beliau, Tunku Abdul Rahman membuat pilihan sendiri kerana yakin ia merupakan pillihan terbaik ketika itu malah beliau melantik Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebagai Menteri Dalam Negeri untuk membantu Tun Abdul Razak.
“Saya juga terganggu dengan tulisan Tommy kononnya ratusan pemuda Melayu membawa parang dan keris sebagai punca utama rusuhan selain yakin adalah tidak sepatutnya hanya satu kumpulan dipersalahkan dalam hal tersebut.
“Saya percaya semua orang berhak untuk mempunyai pandangan sendiri terhadap sesuatu yang berlaku namun saya memilih untuk berbeza pandangan dengan Tommy yang sebelum ini merupakan pegawai undang-undang tertinggi dalam kerajaan,” katanya.