6 FEB: Seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk berjaya ditahan orang awam ketika cuba melarikan diri selepas merempuh seorang penunggang motosikal sehingga dalam kejadian di Jalan Persiaran Lestari Perdana, Serdang, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian kira-kira jam 9.28 malam itu, kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Puchong tidak memberhentikan kenderaan sebelum masuk ke bulatan Jalan Persiaran Lestari Perdana.
“Lelaki terbabit telah memecut kenderaan jenis Toyota Hilux warna hitam yang dipandu selepas merempuh mangsa. Semasa tiba di Leburaya Bukit Jalil kawasan Kuala Lumpur, berhampiran Sirim Malaysia, orang awam yang menunggang motosikal telah bertindak menghalang lelaki itu.
“Lelaki itu telah berhenti secara mengejut dan melanggar motosikal orang awam terbabit yang ketika itu berseorangan. Orang awam itu telah mengalami kecederaan ringan akibat dihempap motosikal miliknya akibat pelanggaran itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, orang awam terbabit telah mengalami bengkak di bahagian peha kanan, bahu kanan serta luka pada jari sebelah kanan dan telah dihantar ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan susulan.
Tambah beliau, pemandu di bawah pengaruh alkohol yang ditahan oleh orang awam kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Ujian pengesanan alkohol yang dijalankan mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol melebihi kadar yang dibenarkan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH