7 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 134 laporan setakat ini terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung bukunya yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung tulisan Tommy dalam buku bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’.
Menurut beliau, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu kerana memfitnah.
“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Kertas siasatan ketiga dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Huzir berkata siasatan terhadap 134 laporan polis dibuat ke atas Tommy akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
Beliau berkata siasatan secara terperinci sedang dijalankan sebelum memanggil mana-mana pihak termasuk Tommy untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, membuat laporan polis di Cyberjaya, selepas mendakwa Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.
Turut membuat laporan polis adalah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Khamis lalu, atas dakwaan yang sama. – Oleh HAIKA KHAZI