7 FEB: Sebanyak 3,731 kes positif baharu COVID-19 dikesan di Malaysia dengan 15 lagi warga emas yang mempunyai pelbagai penyakit kronik disahkan meninggal dunia akibat wabak terbabit, dalam tempoh 24 jam lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah berkenaan adalah lebih tinggi daripada kes sembuh dilaporkan hari ini iaitu 3,369 kes sekali gus menjadikan kadar kumulatif kes sembuh setakat ini 190,339 kes atau 78.5 peratus daripada 242,452 kes positif COVID-19 keseluruhannya.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 242,452 kes keseluruhanya kes COVID-19, sebanyak 51,241 kes dikategorikan sebagai kes aktif dengan kebolehjangkitan.
“Daripada 3,731 kes positif baharu COVID-19 dikesan di Malaysia hari ini sebanyak 3,732 adalah kes jangkitan tempatan (1,946 atau 52.3 peratus adalah warganegara dan 1,777 atau 47.7 peratus rakyat asing) dan lapan kes import (masing-masing empat bukan warganegara dan rakyat tempatan).
“Semua kes kematian dilaporkan hari ini iaitu 15 kes adalah membabitkan rakyat tempatan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat penularan COVID-19 di Malaysia sekarang ialah 872 kes (0.36 peratus), manakala 292 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 140 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,606 kes (43.0 peratus) iaitu 1,025
kes (63.8 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan, diikuti oleh Johor sebanyak 499 kes (13.4 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 372 kes (10.0 peratus).
Beliau berkata sebanyak 43 kes (1.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (18 kes), Kluster Tembok Taiping (9 kes), Kluster Tembok Renggam (7 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3), dan Kluster Tembok Mempaga (1 kes).
“Kes-kes kematian pada hari ini membabitkan empat kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Kuala Lumpur dan Sabah, dua kes di Sarawak, dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Kedah, dan Johor. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI