7 FEB: Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memperluaskan bidang kuasanya merangkumi wilayah-wilayah Palestin yang diduduki pada 1967 adalah selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.
Memetik laporan Palestinian Information Center, ketua jabatan media Hamas, Raafat Marra berkata, mana-mana mahkamah yang menegakkan prinsip integriti, keadilan dan profesionalisme akan mempertahankan rakyat Palestin dan hak mereka.
“Sebarang keputusan antarabangsa yang menyokong hak-hak rakyat Palestin, mempertahankan kebebasan mereka, memberi keadilan kepada mereka dan mendakwa penjenayah perang adalah selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyeru semua kaedah digunakan untuk menghentikan keganasan dan jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin sejak lebih 70 tahun lalu.
“Entiti Zionis and para pemimpinnya mengamalkan keganasan terancang terhadap rakyat Palestin, merompak hak-hak mereka dan sikap membisu masyarakat antarabangsa menggalakkan mereka menerusikan tindakan jenayah terhadap rakyat Palestin,” jelasnya.
Kelmarin, ICC mengumumkan bahawa bidang kuasanya meliputi wilayah-wilayah Palestin yang diduduki rejim Zionis Israel sejak 1967.
Langkah itu membuka ruang kepada siasatan berhubung jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis.
Seperti yang dijangka, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak berpuas hati dengan pengumuman ICC itu.