7 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong, Pahang dan Penjara Taiping, Perak serta kuarters masing-masing yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan lagi selama dua minggu sehingga 22 Februari ini.
Menteri Kanan Pertahan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi Penjara Bentong, sehingga kini, sebanyak 2,085 ujian saringan telah dilaksanakan yang melibatkan tahanan, kakitangan serta kontak rapat.
“Daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 767 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“Kementerian Kesihatan turut mengesahkan masih terdapat peningkatan kes positif di penjara ini di mana sebanyak 13 kes positif terakhir telah dilaporkan pada 5 Februari 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagi Penjara Taiping pula, beliau menambah, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 544 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 112 kes positif COVID-19 telah direkodkan merangkumi 90 banduan, 21 kakitangan serta seorang ahli keluarga.
Ismail Sabri memberitahu, Kementerian Kesihatan turut mengesahkan terdapat sejumlah 40 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan terdapat tahanan yang masih bergejala.
Sementara itu, beliau berkata, PKPD di Blok Transit (Blok Muhasabah) Penjara Jelebu, Negeri Sembilan tamat hari ini seperti yang dijadualkan.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan kesemua 49 kes positif yang ditempatkan di Blok Transit (Blok Muhasabah) telah sembuh sepenuhnya dan didiscaj
serta 69 orang tahanan juga telah tamat tempoh HSO,” jelasnya.
Berhubung penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, seramai 789 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).
Menurut beliau, darpada jumlah itu, seramai 764 orang dikompaun, 21 individu direman manakala empat orang lagi dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (191), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (160), tiada penjarakan fizikal (110), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (128), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (41), keluar rumah tanpa alasan munasabah (23) dan lain-lain (136),” katanya.
Selain itu, tambah Ismail Sabri, pasukan keselamatan menahan seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 79 bot/kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” ujarnya.
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,836 pemeriksaan khas pematuhan
SOP.
“Daripada jumlah itu, 1,822 premis mematuhi SOP, lima diberi amaran manakala sembilan lagi premis dikompaun,” kata Ismail Sabri. – Oleh HUSSAINI AMRAN