8 FEB: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa tidak akan berputus asa dalam perjuangan menyatupadukan parti-parti politik Melayu.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, perjuangan merealisasikan permuafakatan dan penyatuan parti-parti politik Melayu tetap diteruskan walaupun ada pihak tertentu sedang menghasut supaya pemimpin dan ahli parti politik Melayu membenci sesama sendiri.
Malah, beliau percaya UMNO wajib memimpin usaha memupuk perpaduan dan permuafakatan dalam kalangan parti politik Melayu.
“Kita wajib terus berusaha agar penyatuan dan pemuafakatan parti dan orang Melayu mesti dijadikan realiti. Tanggungjawab ini bukan sekadar strategi politik tapi satu jihad dalam menunaikan perintah Allah SWT.
“Saya tidak akan putus asa walau saya dipecat kerana dikatakan pro sesebuah parti Melayu, saya istiqamah dengan pendirian bahawa parti saya akan menjadi kuat sekiranya UMNO bermuafakat dan bekerjasama dengan semua parti Melayu lain,” katanya dalam hantar Facebook miliknya, hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI