8 FEB: Ada pihak tertentu yang sanggup menggunakan akaun Facebook palsu semata-mata untuk memburukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan meninggal komen jelik dan negatif dalam laman sosial milik Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Perak, Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh, berkata perkara itu boleh dilihat berdasarkan komen yang dimuat naik di laman Facebook milik Presiden Jokowi.
“Baca komen-komen di laman Facebook Presiden Joko Widodo berhubung postingnya bersama YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Lihat beberapa komen dari rakyat Malaysia yang menghentam Perdana Menteri kita. Dan kebanyakan komen sebegitu datang dari ‘akaun palsu’. Sepertinya ada arahan atau gerakan dari pihak tertentu yang merencana perkara sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.
Perbuatan biadab yang dipercayai dilakukan oleh penyokong pembangkang telah mencetuskan kemarahan rakyat yang patriotik.
Mereka juga menganggap perbuatan pengecut itu hanya memalukan negara sendiri di mata dunia.
Mohd Hafiz Mubin berkata, tindakan berkenaan menunjukkan kepada masyarakat di luar negara bahawa rakyat Malaysia masih tidak matang berpolitik.
“Bermain politik hingga menunjukkan pada orang luar betapa biadapnya kita pada pemimpin negara bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Apa untungnya berbuat sedemikian?
“Rakyat Indonesia boleh mengundi ke pada PRU-15 nanti? Kononnya terlalu cerdik mahu mengulas isu kepimpinan negara tapi hakikatnya tidak berakal hingga bertindak mencemarkan nama baik negara sendiri,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI